Kurikulum didefinisikan sebagai satu pelan atau rancangan untuk tindakan atau satu dokumen bertulis yang mengandungi strategi untuk mencapai matlamat yang dihajati.(Ornstein dan Hankins 1993,98)
Kurikulum ialah unsur budaya atau ilmu pengetahuan unutk memandu guru mengajar kumpulan murid tertentu.(MOHD DAUD 1995)
Kurikulum ditakrifkan sebagai dokumen yang mengandungi rancangan P&P yang mempunyai objektif psikomotor,efektif dan kognitif bagi satu subjek.
Kurikulum juga didefinisikan sebagai satu rancangan pendidikan yang mengandungi segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma serta unsur kebudayaan dan kepercayaan yang menjadi pilihan masyarakat untuk diwariskan daripada generasi ke generasi yang lain. Contohnya: KBSR(Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
KONSEP KURIKULUM
Konsep kurikulum dapat dikategorikan kepada 5 iaitu:-
- Kurikulum menjadi dokumentasi khas dan panduan. Kurikulum terdiri daripada cadangan-cadangan berhubung dengan matlamat, objektif, ciri- ciri pelajar, pengalaman pembelajaran, isi kandungan pelajaran, kaedah, bahan dan cara penilaian.
- Kurikulum perlu memberi tumpuan kepada kaedah penyampaian yang lebih menarik. Ini membantu pelajar menguasai kemahiran dan isi kandungan dengan berkesan.
- Kurikulum merupakan program pengajian yang merujuk kepada subjek yang diajar mengikut aliran atau jurusan yang ditetapkan.
- Kurikulum membentuk pengalaman pembelajaran yang terancang. Ia bukan sahaja membolehkan pelajar menimba ilmu, tetapi juga mencari dan mendapat pengalaman.
- Selain itu, ia juga mempunyai konsep tersirat. Semasa pelajar melalui pembelajaran terancang, pelajar akan memperolehi nilai-nilai sampingan. Contohnya: interaksi dan komunikasi. Ia membolehkan kanak-kanak menjadi lebih matang dan dewasa serta mempelajari nilai dan etika dalam kehidupan masyarakat.
Namun isu perlaksanaan kurikulum di peringkat sekolah seringkali timbul dan menyebabkan perlaksanaannya di peringkat sekolah sering menjadi kekangan. Isu yang berkaitan dengan kurikulum misalnya pengukuran tahap sejauhmana kurikulum sekolah boleh dinilai dari segi objektif, skop,mutu pegawai terlibat (khususnya guru), kebolehan para pelajar, kepentingan setiapmata pelajaran, pencapaian objektif dan sebagainya sering dipersoalkan.
Artikel 1
Tajuk Jurnal : KAJIAN PENILAIAN KURIKULUM PENDIDIKAN MATEMATIK DAN
SAINS UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
Penulis Jurnal : Mohini Bt. Mohamed & Fatmahanim Binti Mohammad
Ulasan:
Kajian ini adalah tentang penilaian kurikulum bagi program Sarjana Muda Sains serta Pendidikan Matematik (SPM) dan Sarjana Muda Sains serta Pendidikan Sains (SPN) yang ditawarkan di Universiti Teknologi Malaysia. Seramai 137 orang responden yang terdiri daripada pelajar tahun satu hingga tahun empat dari program SPM dan SPN terlibat sebagai responden dalam kajian ini. Instrumen kajian menggunakan satu borang soal selidik dengan skala lima mata bagi mengukur empat kategori model CIPP. Kategori yang dinilai adalah contexts, input, process dan product di mana ianya mengandungi 36 item. Aspek yang hendak dinilai ialah program, kandungan pelajaran, pengajaran dan pembelajaran serta kepuasan pelajar. Berdasarkan hasil kajian yang diperolehi, menunjukkan masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan perkhidmatan dan menjadikan program yang ditawarkan oleh Fakulti Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia lebih memuaskan pelajar.
Artikel 2
Tajuk Jurnal : ANALISIS KEPERLUAN KURIKULUM PENDIDIKAN VOKASIONAL
PELAJAR BERMASALAH PEMBELAJARAN (LD) DI MALAYSIA
Penulis Jurnal : ZAINUDIN MOHD. ISA, NORANI SALLEH, RAMLEE MUSTAPHA &
HANAFI MOHD YASSIN
Ulasan:
Tujuan kajian ini adalah melakukan analisis keperluan terhadap kurikulum pendidikan vokasional pelajar bermasalah pembelajaran (MP) di peringkat sekolah menengah di Malaysia. Analisis keperluan ini antaranya bertujuan untuk menentukan sejauhmana kesesuaian kurikulum vokasional sedia ada terhadap keperluan pelajar MP; mengenalpasti bidang-bidang kemahiran yang diperlukan oleh pelajar MP; mengenalpasti corak dan pasaran kerjaya yang diperlukan di masa depan. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif yang dijalankan menggunakan soal selidik dan temu bual terhadap 111 orang responden yang terdiri daripada guru yang mengajar di program pendidikan khas, ibubapa pelajar MP, wakil NGO, majikan bekas pelajar MP, pentadbir pendidikan dan pakar dalam pendidikan vokasional bagi mendapatkan maklum balas tentang asas keperluan untuk mewujudkan kurikulum vokasional bagi pelajar MP serta cadangan berkaitan bentuk, perlaksanaan dan penilaian kurikulum tersebut. Dapatan kajian mendapati: (1) pelajar MP kurang memiliki kemahiran bekerja mungkin kerana kurikulum sedia ada didapati bersifat terlalu umum dan lebih menekankan aspek akademik yang tidak sesuai dengan keperluan pelajar MP; (2) Terdapat beberapa bidang kemahiran kerjaya yang dikenalpasti sesuai diajar kepada pelajar MP; (3) pelajar MP di masa hadapan memerlukan kemahiran vokasional yang berteknologi tinggi sesuai dengan kehendak semasa; (4) penawaran kerja di masa hadapan untuk pelajar MP adalah berasaskan kemahiran berbanding kelayakan akademik.
Artikel 3
Tajuk Jurnal : PERSEPSI GURU TERHADAP PENGGUNAAN KURIKULUM
BERASASKAN BERMAIN BAGI ASPEK PEKEMBANGAN BAHASA
DAN LITERASI MURID PRASEKOLAH
Penulis Jurnal : SHARIFAH NOR PUTEH & ALIZA ALI
Ulasan:
Berdasarkan jurnal ini, pendidikan prasekolah berfokus kepada kurikulum berpusatkan murid melalui pelbagai aktiviti melibatkan murid secara aktif seperti belajar melalui bermain, meneroka alam sekitar, membuat eksperimen dan cuba jaya. Artikel ini membincangkan dapatan kajian tentang persepsi guru terhadap penggunaan kurikulum berasaskan main dalam aspek perkembangan bahasa dan literasi murid prasekolah. Empat agensi utama pengelola pendidikan prasekolah yang terlibat dalam kajian ini ialah KPM, KEMAS, JPN, dan swasta. Kaedah kuantitatif melalui soal selidik digunakan untuk mengumpulkan data. Sampel terdiri daripada 60 guru prasekolah dari daerah Hulu Langat Selangor, namun hanya 51 borang soal selidik berjaya dikembalikan. Pemilihan sampel soal selidik dilakukan secara rawak mudah. Hasil kajian menunjukkan semua responden mempunyai persepsi yang baik terhadap penggunaan kurikulum berasaskan main tetapi tidak pasti bagaimana dijalankan. Ujian ANOVA Satu Hala menunjukkan jenis prasekolah, kelayakan akademik dan pengalaman mengajar guru bukan faktor utama yang menentukan tahap pemahaman dan persepsi guru terhadap kurikulum berasaskan main dalam aspek perkembangan bahasa dan literasi murid. Hasil perbandingan persepsi guru dalam kajian ini diharap dapat memberi kesedaran tentang pentingnya mengintegrasikan aktiviti bermain dalam pengajaran dan pembelajaran serta kolaborasi antara empat agensi pengelola pendidikan prasekolah negara perlu diwujudkan bagi memantapkan kurikulum kebangsaan prasekolah terutamanya aspek pendekatan yang bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak.
HTML Comment Box is loading comments...