Definisi bagi Standard Pengajaran Profesional ialah satu rujukan utama bagi bidang tugas seorang guru di mana ia menerangkan tentang apa yang guru boleh lakukan serta menyediakan hala tuju dan struktur untuk menyokong penyediaan dan pembangunan guru. Di Malaysia, Standard Guru Malaysia (SGM) dijadikan sebagai panduan oleh para guru, agensi dan institusi latihan perguruan, pensyarah serta guru besar dan pengetua sekolah. SGM meliputi standard dan keperluan di mana kedua-dua aspek ini dilaksana berasaskan Misi Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Tatasusila Profesion Keguruan dan Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia bagi melahirkan guru unggul yang dapat membentuk modal insan kelas pertama. SGM bertujuan menggariskan kompetensi professional yang patut dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi mencapai tahap yang ditetapkan. Ia juga bertujuan untuk melestarikan guru berkualiti.
Walaupun dengan kewujudan SGM, masih terdapat isu-isu berkaitan Standard Pengajaran Profesional ini yang meniti di dada-dada akhbar malah dalam kalangan pendidik sendiri. Ternyata mengaplikasi SGM sahaja tidak cukup untuk menghasilkan guru yang berkualiti kerana pada diri pendidik itu sendiri masih terdapat perkara yang menghalang mereka untuk mencapai tahap profesional. Beberapa isu berkaitan dengan Standard Pengajaran Profesional yang akan dikupas ialah isu disiplin guru, guru tidak bersedia dengan perubahan sistem, guru mengajar subjek yang bukan opsyen, guru sebagai kerjaya terakhir, guru masih menggunakan kaedah tradisional dan lambakan pusat tuisyen gugat peranan guru.
Artikel 1
Tajuk artikel : KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL
Sumber : INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BATU LINTANG
Ulasan:
Artikel menjelaskan Professional Learning Community (PLC) yang merujuk kepada usaha para pendidik yang komited dan bekerja secara kolaboratif serta berterusan untuk membuat inkuiri atau kajian tindakan bagi mencapai prestasi yang lebih baik untuk murid-murid mereka (DuFour, Eaker, & Many, 2006). Untuk itu, pada tahun 2011 Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah melaksanakan PLC bermula dengan strategi “Lesson Study‟ kepada 289 panitia mata pelajaran di 289 buah sekolah berprestasi rendah. Usaha ini diteruskan pada tahun 2012 kepada 107 panitia mata pelajaran di 107 buah sekolah. Selain daripada “Lesson Study‟, strategi-strategi PLC yang lain seperti Pembimbing Rakan Sebaya (Peer Coaching), Jejak Pembelajaran (Learning Walk) dan Sesi Perkongsian (Sharing Sessions) telah diperluaskan. Kesimpulan yang di ambil dari artikel ini, sangat penting untuk guru menyedari bahawa faedah dan manfaat yang diperolehi melalui Lesson Study menjangkaui proses yang dilalui. Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh akan diaplikasikan secara langsung oleh guru-guru dalam sesi pengajaran mereka di bilik darjah. Budaya Lesson Study diharapkan dapat memupuk kesedaran guru untuk lebih komited dan berdedikasi terhadap profesion perguruan.
Artikel 2
Tajuk artikel : KUALITI GURU PERMULAAN KELUARAN SEBUAH INSTITUT PERGURUAN: SATU TINJAUAN DARI PERSPEKTIF PENTADBIR SEKOLAH
Penulis artikel : CHEE KIM MANG
Ulasan:
Artikel ini bertujuan untuk membincangkan kepuasan pihak pentadbir sekolah terhadap guru permulaan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dan guru permulaan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) keluaran sebuah institut perguruan di Malaysia. Kumpulan guru permulaan ini mula berkhidmat sebagai guru sekolah selama enam bulan pertama mereka ditempatkan ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Kajian ini menggunakan reka bentuk tinjauan. Data dikutip dengan menggunakan instrumen Soal Selidik Kepuasan Pelanggan (SSKP). Kaedah persampelan rawak bersistematik digunakan dalam kajian ini. Sebanyak 105 set soal selidik telah diposkan ke sekolah-sekolah di mana guru permulaan ditempatkan di seluruh Malaysia. Sebanyak 83 (79.1%) set soal selidik telah dikembalikan oleh pentadbir-pentadbir sekolah. Kertas kerja ini akan membincangkan tahap kepuasan pihak pentadbir sekolah terhadap empat aspek iaitu: (i) kualiti diri; (ii) pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah; (iii) pelaksanaan aktiviti kokurikulum di sekolah; dan (iv) pengurusan kerja di mana guru permulaan itu ditempatkan. Beberapa isu, cabaran dan harapan yang disuarakan oleh pihak pentadbir tentang guru permulaan keluaran institut perguruan juga dibincangkan.
Artikel 3
Tajuk Artikel : AMALAN PEMBELAJARAN DALAM KALANGAN GURU SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI
Penulis Artikel : ROSNAH BINTI ISHAK, MUHAMMAD FAIZAL BIN A. GHANI & SAEDAH SIRAJ
Ulasan:
Menurut artikel ini, guru yang berkualiti akan menghasilkan pelajar yang berkualiti. Oleh itu, guru-guru hendaklah mengambil usaha unruk meningkatkan diri mereka dengan belajar secara berterusan. Ini boleh dijalankan dengan belajar secara individu dan berkumpulan, secara formal dan tidak formal sangat penting bagi kalangan guru untuk meningkatkan lagi ilmu dan profesionalisme mereka. Kertas kerja ini melaporkan tentang latihan guru secara individu dan berkumpulan. Kajian ini merupakan kajian tinjauan yang mana borang soal selidik telah diedarkan sebanyak 321 di 14 buah sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Hasil kajian menunjukkan analisis skor purata yang ditunjukkan oleh pembelajaran secara individu adalah tinggi. Manakala latihan guru secara berkumpulan juga menunjukkan skor purata pada tahap yang tinggi. Ujian Mann Whitney-U menyatakan perbezaan yang signifikan beberapa amalan di antara dua jenis SBT iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Bantuan Rakyat (SBP).
HTML Comment Box is loading comments...